Rabu, 31 Mei 2006 | ||||||||
|
|
|||||||
|
Kenyataan Akhbar dan Artikel
ePerolehan mudah urus niaga kerajaan-pembekalOleh Hizral Tazzif HishamBerita Harian, Komputer - 13 Mei 2002 Pelaksanaan aplikasi kerajaan elektronik ePerolehan dijangka dapat memudahkan urus niaga antara agensi kerajaan dan kementerian dengan kira-kira 35,000 pembekal. ePerolehan adalah aplikasi utama kerajaan elektronik menerusi inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek berkenaan dianugerahkan kepada CDCSB pada 1999 untuk pelaksanaan selama lapan tahun. Ia membenarkan pembekal yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan merekabentuk dan mengemukakan katalog elektronik barangan dan perkhidmatan mereka agar agensi kerajaan dan kementerian boleh melihat produk dan perkhidmatan mereka menerusi katalog elektronik. Sehingga kini, kira-kira 30,000 atau 86 peratus pembekal sudah mendaftar dengan ePerolehan dengan kadar purata 1,500 pendaftaran sebulan. Fasa pertama membabitkan pendaftaran pembekal dan Pusat Kontrak yang mengandungi empat Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang bertindak sebagai pusat pembelian. Sebanyak sembilan PTJ sudah ditubuhkan yang bertindak sebagai projek perintis dalam projek berkenaan. Ketua Eksekutif Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDCSB), Datuk Mohd Salleh Masduki, berkata perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penggunaan Internet memerlukan tindakan proaktif agar tidak ketinggalan dalam persaingan sengit dunia perniagaan antarabangsa. "Masa dan tempat tidak lagi penting. Apa yang utama ialah strategi perniagaan dan pemasaran yang mantap terutamanya menggunakan kelebihan ICT untuk menerokai pasaran antarabangsa," katanya di Petaling Jaya, minggu lalu. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan kit pengguna ePerolehan kepada lima badan kebajikan yang menjadi pembekal berdaftar dengan kerajaan. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Seiausaha Perbendaharaan (Operasi), Datuk Abdul Majid Hussein dan Naib Presiden Operasi Perniagaan CDCSB, Zaharin Ali. Fasa kedua merangkumi modul pembelian secara terus (sudah beroperasi) dan tender dan sebut harga (penghujung tahun ini). Beliau berkata, CDCSB mengambil langkah proaktif untuk memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang perkembangan industri di Malaysia tidak ketinggalan dalam proses berkenaan. "Kami sedang dalam proses mengembangkan pusat perkhidmatan ePerolehan yang dikenali sebagai eP Shoppe dan membuka lebih banyak Pusat Perkhidmatan ePerolehan di kawasan pedalaman." "Ia akan bertindak sebagai pusat perkhidmatan untuk peniaga kecil yang tidak mampu melabur dalam pembelian perkakasan dan perisian untuk dirangkaikan dengan ePerolehan. Pusat berkenaan menyediakan alat untuk mencapai aplikasi ePerolehan berserta panduan kepada pembekal kerajaan yang masih belum cekap dalam bidang ICT," katanya. Sementara itu, Abdul Majid berkata, kerajaan mensyaratkan agar semua pembekal mendaftar dengan ePerolehan untuk membuat urus niaga. "Dalam era digital, sama ada kita suka atau tidak, kita perlu menerima pakai teknologi baru atau menghadapi risiko ketinggalan dalam perniagaan antarabangsa yang berkembang pesat," katanya.
|
|
© 2000-2005 Commerce Dot Com Sdn Bhd.
Semua hakcipta terpelihara. Syarat-syarat Perkhidmatan
|