Khamis, 27 April 2006 | ||||||||
|
|
|||||||
|
Kenyataan Akhbar dan Artikel
e-Perolehan bantu PKS guna khidmat dalam talianBerita Harian, Ekonomi - 22 Oktober 2002e-Perolehan berjaya menjadikan pameran Smidex 2002 yang tamat minggu lalu meningkatkan usaha membolehkan perusahaan kecil sederhana (PKS) menggunakan perkhidmatan secara dalam talian. Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC), dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam berkata, ia yakin e-Perolehan dapat memenuhi matlamatnya mewujudkan pasaran elektronik bagi kerajaan dan pembekalnya. e-Perolehan ialah satu daripada projek Aplikasi Perdana e-Kerajaan di bawah inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) manakala CDC bertanggungjawab memaju, melaksana dan menguruskan sistem itu dengan kerjasama Menteri Kewangan. Berikutan sambutan dan maklum balas positif yang diterima daripada e-Kerajaan, CDC berkata, kerajaan dijangka menetapkan tarikh akhir bagi sistem berkenaan dalam tempoh terdekat ini. Antara langkah proaktif yang diambil untuk memacu penggunaan saluran jualan elektronik baru ini ialah tawaran perkhidmatan kemasukan data percuma dalam katalog elektronik sehingga 10 barangan. Ketua Eksekutif CDC, Datuk Mohd Salleh Madsuki, berkata kos biasa bagi kerja mereka bentuk katalog elektronik untuk dimuat pindah ialah kira-kira RM15 bagi setiap barangan. Satu inisiatif telepembolehan khas direka untuk menarik pembekal e-Perolehan dan sambutan diterima begitu menggalakkan dengan lebih 500 pembekal menyerahkan 4,500 katalog dalam dua minggu pertama kempen itu. Kami sedang dalam proses mengembangkan pusat perkhidmatan e-Perolehan dan e-Shoppe kami bagi menyokong semua pengguna terutama di kawasan pedalaman negara, katanya. Mohd Salleh berkata, pusat perkhidmatan itu disasarkan kepada pengguna yang tidak berkemampuan untuk melabur bagi perkakasan untuk dihubungkan kepada e-Perolehan. Katanya, CDC menyediakan bukan saja perkakasan untuk akses kepada e-Perolehan tetapi garis panduan kepada pembekal kerajaan yang kurang celik teknologi. Beliau berkata, walaupun semua 35,000 pembekal biasa kerajaan sudah berdaftar dengan e-Perolehan, wujud keperluan penting bagi mendapatkan sistem itu kepada mereka. Ia mudah di mana pembekal yang berdaftar hanya diperlukan melabur jumlah minimum RM400 bagi pembaca kad pintar e-Perolehan, katanya. Mohd Salleh berkata, pelaburan itu tidak termasuk kos komputer, sesuatu yang sepatutnya sudah dimiliki oleh setiap ahli perniagaan. Sejak pelancaran modul pemerolehan pembelian langsung awal tahun ini, pusat pemerolehan kerajaan bagi Pusat Tanggung Jawab (PTJ), kini hanya membuat pembelian daripada pembekal yang akan memaparkan barangan dan perkhidmatan dalam sistem e-Perolehan. Pada masa depan, e-Perolehan akan melancarkan tender dan modul sebut harga bagi merealisasikan wawasan menjadikan kerajaan Malaysia sebagai yang pertama di dunia berniaga menerusi sistem pemerolehan elektronik. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pembekal dan kerajaan ke arah pertumbuhan dan pembangunan sektor dan kemudahan e-dagang di negara ini, katanya. Dalam hal ini, beliau berkata, CDC akan meningkatkan usaha untuk memastikan semua pembekal kerajaan yang berdaftar dan PKS merebut faedah maksimum daripada sistem ini. - Bernama.
|
|
© 2000-2005 Commerce Dot Com Sdn Bhd.
Semua hakcipta terpelihara. Syarat-syarat Perkhidmatan
|