Jumaat, 16 Jun 2006 | ||||||||
|
|
|||||||
|
Kenyataan Akhbar dan Artikel
CDC permudahkan akses ePerolehan
Utusan, Ekonomi - 3 Januari 2006 Kuala Lumpur 2 Jan. - Pengendali tunggal sistem ePerolehan negara, Commerce Dot Com Sdn. Bhd. (CDC) memudahkan lagi para pelanggannya dengan membenarkan penggunaan MyKad bagi mengakses aplikasi perkhidmatan negara itu. Pengarah Eksekutifnya, Datuk Azizan Ayob berkata, penggunaan MyKad yang telah dinaik taraf dan pelancaran kad pintar ePerolehan yang baru, kad pintar MyeP, pada awal tahun ini akan menjadikan perkhidmatan itu lebih sistematik dan efisien. Katanya, para pelanggan sedia ada tidak perlu lagi untuk mendaftar atau pergi ke pusat perkhidmatan di cawangan seperti mana yang dilakukan sebelum ini bagi proses penukaran kad baru apabila tamat tempoh. "Penggunaan MyKad dan rekaan baru Kad Pintar MyeP mampu untuk memberi perkhidmatan yang lebih sempurna kepada para pelanggan ePerolehan serta menjadikan ia lebih mesra pelanggan berbanding kad pintar sebelum ini yang agak terhad". "Pelanggan tidak perlu lagi untuk menukar kad baru dan beratur bagi proses itu, malah ia boleh dilakukan sendiri dan memilih jangka masa bagi tempoh perkhidmatan yang mereka inginkan," katanya ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Perkhidmatan ePerolehan di negara ini telah menunjukkan pergerakan positif dan sangat membanggakan, yang mana para pelanggan kini cenderung untuk menggunakannya, kata beliau. Jelasnya, nilai transaksi untuk perkhidmatan ePerolehan telah meningkat sebanyak 220 peratus pada tahun 2005, iaitu kepada sebanyak RM1 bilion berbanding RM312 juta pada tahun sebelumnya. Pihaknya turut menyasarkan peningkatan sekali ganda nilai transaksi pada tahun 2006 berikutan penambahbaikan aplikasi dan penggunaan sumber terbuka (open source) dalam sistem tersebut. Tambah Azizan, reaksi para pelanggan mengenai kelebihan perkhidmatan ePerolehan adalah sangat memberangsangkan, terutama apabila ia berjaya mempercepatkan proses urus niaga, menjimatkan, mudah dan membolehkan pelanggan melihat tahap proses urus niaga yang dilakukan. Dengan menukarkan sistem aplikasi ePerolehan kepada aplikasi sistem terbuka yang dikenali dengan nama JBOSS dan platform JDK 1.4, perkhidmatan itu diharap dapat dikendalikan dengan lebih sempurna, kata beliau. Menurutnya, sistem tersebut dijangka mampu menampung peningkatan penggunaan ePerolehan dan stabil untuk mengendalikan 1,000 transaksi pada satu-satu masa berbanding 50 transaksi sebelum ini. Menurutnya, persiapan sedang dibuat supaya semua modul ePerolehan termasuk sebut harga, tender dan sistem Pengurusan Katalog dapat dipindahkan. Kata beliau, aktiviti meningkatkan keupayaan sistem ePerolehan menggunakan produk sumber terbuka adalah selaras dengan hasrat kerajaan agar sistem itu diterapkan secepat mungkin dalam pembangunan sistem. |
|
© 2000-2005 Commerce Dot Com Sdn Bhd.
Semua hakcipta terpelihara. Syarat-syarat Perkhidmatan
|