ePerolehan catat urus niaga RM1.08 bilion
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Berita Harian, Nasional - 18 Mei 2006
KOTA KINABALU: Sistem pesanan elektronik, ePerolehan, mencatat urus niaga berjumlah RM1.08 bilion hasil 107,000 pesanan agensi kerajaan yang beroperasi di Lembah Klang, tahun lalu.
Ketua Pengarah Eksekutif Commerce Dot Com (CDC), Datuk Azizan Ayub, berkata semua pembekal produk dan perkhidmatan terbabit dengan sistem itu berdaftar dengan Kementerian Kewangan.
Katanya, proses itu termasuk pendaftaran baru, pembaharuan pendaftaran, penambahan bidang dan permohonan status yang dibuat secara elektronik melalui sistem ePerolehan.
"Sejak pelaksanaannya pada 2002, sistem itu diperkemaskan hingga menjadi stabil dan berfaedah bagi membolehkan kerajaan membuat pembelian melalui pelbagai proses.
"Ia membabitkan modul kontrak pusat, pembelian terus, sebut harga, tender dan modul kontrak Kementerian, sejajar hasrat pembentukan kerajaan elektronik," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata, 28 agensi Kerajaan Persekutuan di Sabah dan 35 agensi di Labuan kini menjalani latihan 'mandatory handholding' mulai Isnin lalu hingga Selasa depan sebagai persediaan menggunakan sistem ePerolehan.
Azizan berkata, selain meningkatkan produktiviti dan ketelusan proses perolehan kerajaan, sistem itu menguntungkan syarikat dan pembekal terbabit kerana menjimatkan kos pemasaran.
Katanya, pemasaran dilakukan menerusi internet yang dapat memudah dan memperluaskan pasaran serta mempercepatkan proses pembayaran.