Friday, 09 April 2004
Search
Home Glossary Search Contact Us Site Map
 
For Government Agency Users
» Supplier Registration Information Enquiry
» Related Information

 Links
» Ministry of Finance
» Commerce Dot Com
» MyKatalog.com
» MAMPU

   
 
Press Room
Commerce Dot Com labur RM250 juta bangun e-Perolehan

Commerce Dot Com labur RM250 juta bangun e-Perolehan

Oleh Nor Liza Ahmad
Berita Harian, Ekonomi - 09 Disember 2002

COMMERCE Dot Com Sdn Bhd (Commerce Dot Com), menjangka melabur RM250 juta bagi membangunkan sistem pemerolehan elektronik kerajaan, e-Perolehan bagi tempoh lapan tahun sehingga 2007.

Setakat ini, Commerce Dot Com sudah membelanjakan RM143 juta sejak memperoleh konsesi membangunkan sistem e-Perolehan daripada kerajaan pada 1999.

Syarikat itu bertanggungjawab mereka bentuk dan membina sistem e-Perolehan bagi membolehkan pembekal dan agensi kerajaan menyertai perdagangan menerusi elektronik (e-perdagangan).

Ketua Eksekutif Commerce Dot Com, Datuk Mohd Salleh Masduki, berkata beliau yakin apabila beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan, sistem berkenaan mampu menyokong kegiatan perdagangan dalam talian dan muncul sebagai antara saluran urus niaga berkesan.

Sistem elektronik itu kini dihubungkan kepada 35,000 pembekal tempatan, 4,288 agensi, Perbendaharaan, Pusat Pemindahan Dana Elektronik (EFT), Kerajaan Elektronik dan Pihak Berkuasa Pensijilan bertauliah.

Beliau berkata, menerusi e-Perolehan, pembekal boleh memasarkan produk mereka melalui Internet, sekali gus memperluaskan penguasaan pasaran.

Katanya, keseluruhan proses jual beli daripada sebut harga hingga kepada penghantaran tender dilaksanakan menerusi sistem elektronik itu.

Selain itu, e-Perolehan juga bertanggungjawab menerima, mengurus dan memproses pesanan belian seterusnya menerima bayaran daripada agensi kerajaan untuk dibayar kepada pembekal.

Sistem ini mampu menjimatkan kos operasi pembekal dan pembeli, selain menyediakan peluang pendapatan meluas kepada pembekal di samping memberi kelebihan persaingan dan kepuasan.

e-Perolehan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses membeli dan menjual menerusi kitaran pemerolehan elektronik secara menyeluruh, katanya dalam temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mohd Salleh berkata, e-Perolehan juga dijangka menarik penyertaan pembekal antarabangsa bagi meningkatkan kegiatan perdagangan menerusi elektronik.

Beliau berkata, mulai tahun depan pembekal yang tidak berdaftar dengan e-Perolehan tidak boleh berurusan dengan sebarang kontrak kerajaan dan mereka akan ketinggalan.

e-Perolehan adalah sistem pemerolehan elektronik canggih dan unik negara bagi bursa Kerajaan-kepada-Perniagaan (G2B) yang disediakan untuk menyelaraskan proses dan prosedur bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

Sistem itu boleh digunakan untuk semua jenis perolehan kerajaan seperti Kontrak Pusat, Pembelian Terus, Permohonan Sebut Harga dan Permohonan Tender.

Justeru, beliau menggesa semua pembekal berdaftar dengan e-Perolehan, bagi mengelakkan mereka kehilangan peluang perniagaan.

Katanya, kerajaan dijangka membelanjakan kira-kira RM80 bilion bagi pembelian produk untuk tempoh lima tahun.

Mohd Salleh berkata, pada masa sekarang hanya 5,000 pembekal saja yang mempunyai kad pintar bagi membolehkan mereka menjalankan urus niaga menerusi e-Perolehan.

Pembekal hanya perlu membelanjakan kira-kira RM680 untuk pendaftaran dan bagi mendapatkan kad pintar.

Kos ini jauh lebih rendah berbanding peluang perniagaan yang bakal mereka manfaat menerusi e-Perolehan, katanya.

Beliau yakin apabila sistem itu digunakan sepenuhnya, ia mampu memberi kesan besar kepada kegiatan urus niaga elektronik menerusi Internet di negara ini.

Bagi menyokong kelancaran operasi e-Perolehan, Commerce Dot Com turut menyediakan tiga pusat data di lokasi strategik.

Mohd Salleh berkata, Commerce Dot Com komited untuk terus mengendalikan e-Perolehan apabila sistem itu diserahkan kepada kerajaan pada 2007.

 
 Archives

PrintPrinter-Friendly Page