Thursday, 22 July 2004 | ||||||||
|
|
|||||||
|
Press Room
e-Perolehan boleh kesan syarikat yang disenaraihitamkanUtusan Sarawak - 21 April 2004KUCHING, Selasa - Kerajaan yakin boleh mengesan syarikat-syarikat yang disenarai hitam melalui sistem e-Perolehan, kata Setiausaha Persekutuan Datuk Isa Kassim hari ini. Melalui sistem ini, beliau berkata, syarikat-syarikat tidak berpeluang menggunakan sebarang cara yang tidak sah untuk mendapatkan perolehan apabila maklumat peribadi direkodkan secara talian. "Semua maklumat yang didaftarkan secara elektronik tidak boleh dibatalkan atau diubah dengan adanya keselamatan sistem eletronik yang tinggi ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pendaftaran Pembekal ePerolehan di sini. Beliau berkata, sistem ePerolehan membuka peluang kepada pembekal barangan dan perkhidmatan untuk meningkatkan pendapatan.Isa berkata, sistem yang menggantikan Sistem Pendaftaran Kementerian Kewangan (SPKK) 2000, membolehkan pembekal mempromosikan produk, menerima, mengurus dan memproses pesanan belian serta menerima bayaran daripada agensi-agensi kerajaan menerusi Internet. "Pembekal yang menyertai sistem ini dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan transaksi perolehan di antara pembekal dan agensi kerajaan serta menggurangkan kos," katanya. Isa berkata, sistem itu membuka peluang dan pasaran yang lebih luas kepada pembekal untuk menjalankan transaksi perolehan dengan kerajaan secara telus, cepat dan efektif. "Semua permohonan pendaftaran baru, pembaharuan, pendaftaran semula, tambah bidang dan status Bumiputera bagi pembekal barangan dan perkhidmatan dengan Perbendaharaan Malaysia, Sabah dan Sarawak boleh dilakukan melalui sistem ini," katanya. Isa berkata, pendaftaran boleh dilakukan melalui sistem ePerolehan secara talian melalui laman webnya di www.eperolehan.com.my.Beliau berkata, perkhidmatan yang dilancarkan oleh agensi-agensi persekutuan di Sarawak ialah pendaftaran bagi pembekal diikuti dengan perolehan melalui Kontrak Pusat dan Pembelian Terus, yang akan dilaksanakan pada bulan Jun ini. "Dua lagi jenis perolehan yang dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini ialah perolehan melalui Tender dan Sebut Harga," katanya. Beliau berkata, sistem ePerolehan, salah satu aplikasi penting di bawah Kerajaan Elektronik, telah berjaya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia secara berperingkat sejak Oktober tahun 2000. "Sehingga kini, terdapat lebih 51,000 pembekal berdaftar dengan Kementerian Kewangan melalui ePerolehan dan dijangkakan seramai 4,000 pembekal dari Sarawak akan mendaftar menggunakan ePerolehan," kata Isa. Menurutnya, pembekal-pembekal di Sibu dan Miri yang berminat dengan sistem ini boleh berurusan dengan pihak ePerolehan.Projek ePerolehan ini adalah usahasama di antara Kementerian Kewangan dengan syarikat tempatan, Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC) atas dasar Bina, Kendali, Pindah (BOT). -- Bernama. |
|
© 2000-2003 Commerce Dot Com Sdn Bhd.
All rights reserved. Terms of Service
|