Commerce Dot Com harap capai pendaftaran pembekal kerajaan 100%

Utusan Malaysia, Korporat - 10 Mei 2002
Artikel di Utusan Malaysia Online »

PETALING JAYA 9 Mei - Commerce Dot Com Sdn. Bhd. berharap dapat mencapai pendaftaran pembekal kerajaan 100 peratus menjelang akhir tahun ini, dengan purata 1,500 pendaftaran baru setiap bulan daripada 30,000 atau 86 peratus pembekal yang telah mendaftar dengan e-Perolehan.

Ketua Eksekutif Datuk Mohd Salleh Mastuki berkata demikian pada taklimat media mengenai projek e-Perolehan di sini.

Sistem e-Perolehan ialah sebuah sistem perolehan terkini yang dibangunkan bersama dan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com.

Mohd Salleh menggesa semua pembekal kerajaan, tidak kira besar atau kecil, mendaftar dengan sistem e-Perolehan kerajaan ataupun menghadapi risiko terlepas peluang perniagaan.

Sistem e-Perolehan membolehkan semua pusat perolehan kerajaan di Malaysia membeli produk dan perkhidmatan menerusi Internet.

Mohd Salleh berkata dua modul iaitu pendaftaran pembekal dan kontrak pusat sistem e-dagang kerajaan kepada perniagaan (G2B), sudahpun dilancarkan sejak Oktober 2000 dan berfungsi sepenuhnya.

Modul-modul pembelian langsung telah siap dan akan dilancarkan pada hari Jumaat (10 Mei) sementara modul tender masih sedang dibangunkan dan akan dilancarkan lewat tahun ini, kata beliau.

Sejak pelaksanaannya, bahagian pentadbiran beberapa agensi kerajaan seperti MAMPU, Akauntan Negara, Auditor Negara, Perbendaharaan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Kementerian Pertanian, Kementerian Perusahaan Utama dan Kementerian Kesihatan telah mula berurusniaga menerusi sistem e-Perolehan.

Dengan pelaksanaan sistem ini, pusat-pusat perolehan kerajaan atau PTJ (Pusat Tanggungjawab), bermula dengan pusat-pusat di Lembah Klang, akan hanya membuat pembelian daripada pembekal yang berdaftar dan menyenaraikan barangan dan perkhidmatan mereka menerusi e-Perolehan.

Pembekal hanya perlu mereka bentuk dan mengemukakan katalog elektronik barangan dan perkhidmatan mereka untuk dimuatkan ke dalam e-Perolehan supaya para pembeli kerajaan boleh melihat produk dan perkhidmatan mereka menerusi katalog elektronik.

Ini bermakna semua pembekal kerajaan, yang pada masa ini berjumlah 35,000 di seluruh negara, perlu menggunakan e-Perolehan untuk terus berurusan dengan kerajaan.

Mohd Salleh juga berkata yang Commerce Dot Com kini dalam proses mengembangkan pusat perkhidmatan e-perolehan yang dinamakan eP Shoppe dan membuka lebih banyak pusat perkhidmatan e-perolehan, khususnya bagi mereka yang berada di tempat-tempat pendalaman di negara ini.

Pusat perkhidmatan ini memenuhi keperluan pengguna kecil yang tidak mampu melabur dalam perkakasan untuk disambungkan kepada e-Perolehan.

e-Perolehan ialah antara aplikasi utama e-kerajaan yang pertama dan terbesar dalam inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek ini diberikan kepada Commerce Dot Com pada tahun 1999. - Bernama