Daftar sistem e-Perolehan elak terlepas peluang

Berita Harian, Ekonomi - 17 Jun 2002

PEMBEKAL kerajaan dinasihat mendaftar dengan sistem e-Perolehan atau menghadapi risiko terlepas peluang perniagaan apabila kerajaan menerusi Kementerian Kewangan menguatkuasakan prosedur pembelian langsung menerusi elektronik mulai hari ini.

Sistem e-Perolehan adalah sistem perolehan terkini yang dibangunkan dan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC).

Naib Presiden Operasi Perniagaan Commerce Dot Com Sdn Bhd (CDC), Zaharin Ali, berkata selepas tarikh itu, semua pembelian langsung yang membabitkan urusan dengan kerajaan akan dijalankan secara elektronik.

�Dengan pelaksanaan sistem itu, pusat tanggungjawab (PTJ) kerajaan, bermula dengan pusat di Lembah Klang, hanya akan membuat pembelian daripada pembekal yang berdaftar dan menyenaraikan barangan dan perkhidmatan menerusi e-Perolehan,� katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pelaksanaan aplikasi kerajaan elektronik e-Perolehan dijangka dapat memudahkan urus niaga antara agensi kerajaan dan kementerian dengan kira-kira 35,000 pembekal.

Sehingga kini, kira-kira 32,000 atau hampir 90 peratus pembekal sudah mendaftar dengan e-Perolehan.

e-Perolehan adalah aplikasi utama kerajaan elektronik menerusi inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC). Projek itu diserahkan kepada CDC pada 1999 untuk pelaksanaan selama lapan tahun.

Menerusi aplikasi berkenaan, pembekal perlu mereka bentuk dan mengemukakan katalog elektronik barangan dan perkhidmatan untuk dimuatkan dalam e-Perolehan supaya pembeli kerajaan boleh melihat produk dan perkhidmatan menerusi katalog elektronik itu.

Wujud empat fasa dalam e-Perolehan iaitu fasa Kontrak Pusat, fasa Pembelian Langsung (kontrak pemerolehan kurang daripada RM200,000), fasa Sebut Harga dan fasa Tender (kontrak pemerolehan lebih RM200,000).

Kontrak Pusat sudah dilaksanakan sepenuhnya sejak dikuatkuasakan pada Oktober 2000.

Zaharin berkata, bagi memastikan kejayaan inisiatif e-Perolehan itu, CDC turut mempersiapkan pengguna dengan aplikasi e-Perolehan.

Bagi tujuan itu, syarikat itu menganjurkan beberapa siri seminar dan bengkel dengan kerjasama pelbagai persatuan dan pertubuhan seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan cawangannya di seluruh negara.

�CDC akan meningkatkan kempen kesedaran untuk memastikan semua pembekal kerajaan yang berdaftar atau masih belum mendaftar memahami pentingnya untuk disambungkan dan menggunakan sistem itu,� katanya.