Melaka Ke Arah Negeri IT: ePerolehan Kuasai Ekonomi Digital

Melaka Minggu Ini - 20-26 Oktober 2002

Sistem perolehan elektronik (ePerolehan) yang menjual barangan dan perkhidmatan kepada kerajaan melalui internet perlu dikuasai oleh semua pengeluar, pembekal dan usahawan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Ahmad Hamzah berkata, ePerolehan menghubungkan komuniti pembeli dan penjual bersama-sama dalam satu persekitaran yang terjamin dan keadaan itu membolehkan mereka menjalankan perniagaan dan perdagangan atas talian secara sulit serta persendirian.

�Kerajaan negeri optimis dengan usaha kerajaan Pusat membangunkan ePerolehan yang merupakan ciri-ciri penting Koridor Raya Multimedia (MSC) kerana kerajaan negeri juga sedang bergerak ke arah itu khususnya melalui beberapa rancangan pembangunan IT seperti k-inkubator, Bandar IT dan MITC,� katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar ePerolehan di Auditorium Seri Negara, Ayer Keroh baru-baru ini.

�Saya harap pengeluar, pembekal dan usahawan dapat menguasai sistem perolehan elektronik ini kerana mulai tahun depan semua permohonan tender kerajaan hendaklah menggunakan sistem berkenaan,� katanya.

Seminar yang pertama kali diadakan di luar Putrajaya itu dianjurkan oleh Unit Pendidikan dan ICT Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Ramadhan Consultancy Services dan Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Melaka.

Pengurus Unit Pendidikan dan ICT Sahabat Belia, Kamaruddin Hamzah berkata, seminar itu selain bertujuan meneruskan kesinambungan wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk membangunkan MSC ia juga bertujuan menyahut cabaran Ketua Menteri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri ICT.

�ePerolehan merupakan salah satu projek di bawah Kerajaan Elektronik, sehubungan itu, seminar ini melatih pengeluar, pembekal dan usahawan mengenai kaedah terkini perolehan kerajaan supaya pada tahun hadapan mereka boleh menyediakan katalog produk, menerima mengurus dan memproses pesanan dan seterusnya menerima bayaran dari agensi-agensi kerajaan juga menerusi internet,� katanya.

Tambah beliau, sistem itu akan mewujudkan interaksi di antara kerajaan dengan pembekal melalui pertukaran maklumat tanpa kertas dan transaksi secara atas talian (on-line).

Seramai 400 peserta, 30 orang daripadanya dari luar Melaka menghadiri seminar sehari berkenaan.

Berikutan kejayaan seminar itu, Unit Pendidikan dan ICT Sahabat Belia bercadang melaksanakan beberapa program berkaitan ICT kepada golongan belia antaranya, kursus keusahawanan cyber, konvensyen teknologi perubatan dan kejuruteraan aeronautikal.

Sementara itu, Pengarah ePerolehan Kementerian Kewangan, Abdullah Ismail mengucapkan syabas kepada Unit Pendidikan dan ICT Sahabat Belia kerana telah berjaya menganjurkan seminar ePerolehan yang pertama di luar Putrajaya dengan jayanya.

�Kejayaan Sahabat Belia menganjurkan seminar ini khususnya dengan pembabitan belia dan usahawan muda secara tidak langsung telah menunjukkan komitmen mereka dalam merealisasikan wawasan Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negeri maju pada tahun 2020 dan Melaka maju pada tahun 2010,� katanya.

Projek ePerolehan itu telah dibangunkan oleh Commerce Dot Com, syarikat yang dilantik oleh kerajaan untuk membangun, menyelenggara dan mengurus sistem berkenaan.

�Program ePerolehan ini telah disebarluas menerusi media cetak dan media elektronik sejak tahun 2000 namun masih ramai pembekal dan usahawan yang tidak mengambil berat untuk mendalami dan memahami sistem berkenaan,� kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Commerce Dot Com, Datuk Mohd Salleh Masduki.

Beliau mengingatkan bahawa ePerolehan bukan sekadar berkaitan pendaftaran lesen Kementerian Kewangan tetapi lebih penting lagi ia melibatkan kecanggihan teknologi untuk mendapatkan tender kerajaan dan juga bersaing di pasaran global.

�Apabila pengeluar dan pembekal ini telah mempunyai katalog produk elektronik mereka sendiri boleh menawarkan barangan dan perkhidmatan mereka menerusi internet ke luar negara, ia selaras dengan persediaan kerajaan untuk menghadapi AFTA dan era globalisasi,� katanya lagi.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung ePerolehan ini boleh menghubungi pusat perkhidmatan ePerolehan di alamat:

Ramadhan Consultancy Services
No. 3A, Tingkat 1
Jalan Melaka Raya 24
Taman Melaka Raya
75000 Melaka.
Tel: 06-284 9961 / 06-283 2298
Faks: 06-284 9982