e-Perolehan bantu Allmax gandakan jualan

Utusan Malaysia, Korporat - 27 Januari 2003

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Allmax Vision (M) Sdn. Bhd. (Allmax), telah berjaya menggandakan jualan perniagaannya dalam tempoh enam bulan yang lalu selepas menggunakan sistem e-Perolehan.

Pengurus Besarnya, Mohd. Fakhir mendakwa sejak menggunakan sistem itu, bilangan pelanggan syarikat telah meningkat ekoran peluasan pasaran secara `maya' manakala kos operasi perniagaan pula menurun.

``Dengan e-Perolehan, jualan dapat di tingkatkan menerusi perkembangan pasaran tanpa perlu membuka cawangan di seluruh negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sistem e-Perolehan adalah satu sistem urus niaga tanpa kertas yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Commerce Dot Com, bagi pembekal-pembekal barangan keperluan kerajaan yang bernilai berbilion ringgit.

Allmax Vision, yang ditubuhkan 11 tahun yang lalu, menawarkan 80 peratus daripada produk kelengkapan komputer dan pejabat edarannya kepada agensi-agensi kerajaan manakala selebihnya kepada pihak swasta serta orang ramai.

Mengulas lanjut, Mohd. berkata, sistem e-Perolehan juga memendekkan tempoh pembayaran ke atas jualan kepada hanya antara tujuh hingga 14 hari sahaja, berbanding tempoh yang lebih lama sebelum pelaksanaannya.

``Ini membolehkan kami membuat pusingan modal dengan cepat selain dapat meningkatkan nilai perniagaan dalam masa yang singkat menerusi pulangan tunai jualan yang lebih baik,'' kata beliau.

Katanya, keadaan ini sangat baik terutama kepada firma perniagaan yang bersaiz kecil untuk membuat pusingan modal perniagaan dengan lebih cepat dan menambahkan kecairan syarikat.

Sambil menyifatkan sistem itu sebagai `selamat' dan sangat mudah digunakan, beliau berkata, pelaburan sebanyak RM300 untuk sistem itu, sangat `berbaloi' berdasarkan pulangan peluang perniagaan yang begitu menggalakkan.

``Buktinya, syarikat kami dapat menampung kos berkenaan dengan nilai jualan dalam masa kurang dari sebulan sahaja,'' katanya.