URUS niaga e-Perolehan berjaya mencatat RM3.6 juta pesanan sepanjang tiga hari pertama Hari Pelanggan aplikasi itu, yang berlangsung di Kementerian Kewangan, Putrajaya, sejak Isnin lalu.
Urus niaga terbesar yang dikendalikan menerusi aplikasi perolehan elektronik itu membabitkan satu urus niaga dengan Kementerian Dalam Negeri yang berjumlah RM2.3 juta.
Pengarah Eksekutif Commerce DotCom Sdn Bhd (CDC), Datuk Azizan Ayob, berkata, pencapaian itu adalah permulaan yang baik bagi e-perolehan yang diuruskan syarikat berkenaan.
Sehubungan itu, katanya CDC akan terus berusaha memastikan aplikasi e-Perolehan diguna pakai sepenuhnya dan meliputi semua pelanggan dalam sektor awam.
"Kami menjangkakan jumlah urus niaga dalam talian yang lebih sibuk menerusi e-Perolehan kerana semakin banyak pihak pembekal dan agensi kerajaan menggunakannya."
"Ini kerana aplikasi berkenaan mempunyai kaedah yang mudah serta memiliki banyak kelebihan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya, semalam.
e-Perolehan adalah aplikasi yang diperkenalkan Kementerian Kewangan dengan kerjasama CDC bagi membolehkan pembekal membuat permohonan projek bekalan secara elektronik.
Kira-kira 3,500 badan dan agensi kerajaan sudah menggunakan sistem berkenaan, manakala seramai 44,000 pembekal sudah mendaftar dalam sistem itu.
Azizan berkata, aplikasi itu bukan saja membantu pembekal kerajaan menjalankan perniagaan dengan lancar tetapi juga membantu meningkatkan jualan dan mengurangkan kos operasi.
Hari Pelanggan e-Perolehan yang berlangsung hingga Jumaat ini, menerima pembabitan 200 pembekal kerajaan.
Ia dianjurkan bagi memberi ruang kepada wakil agensi kerajaan dan pembekal menyelesaikan masalah awal yang mungkin timbul dalam pelaksanaan sistem berkenaan.