Daftar e-Perolehan

Utusan Sarawak - 21 April 2004

KUCHING, Selasa - Semua permohonan Pendaftaran Baru, Pembaharuan, Pendaftaran Semula, Tambah Bidang dan Status Bumiputera bagi pembekal barangan dan perkhidmatan dengan Perbendaharaan Malaysia Sarawak digesa supaya mendaftar melalui sistem e-Perolehan yang mula diperkenalkan sekarang. Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Haji Isa Kassim memberitahu, walaupun para pembekal tidak diberikan tempoh tertentu untuk mereka mendaftar melalui sistem berkenaan, namun mereka diharap dapat berbuat demikian secepat mungkin.

Beliau berkata, menerusi e-Perolehan, para pembekal tidak perlu membina dan menyelenggara sistem perdagangan yang kompleks kerana sistem ini mampu meningkatkan kecekapan dan keselamatan transaksi perolehan di antara pembekal dengan agensi kerajaan.

"Pada masa sekarang terdapat sebanyak 3,830 syarikat pembekal yang telah berdaftar dengan Perbendaharaan Malaysia Sarawak dan kita harap agar mereka mengambil tindakan segera mendaftar dengan e-Perolehan."Sekiranya kita tertangguh-tangguh dan tidak peka dengan ePerolehan, maka pembekal sendiri yang akan kerugian kerana mereka tidak lagi boleh berurusan dengan kerajaan," katanya semasa sidang media selepas majlis Pelancaran Sistem Pendaftaran Pembekal ePerolehan di Auditorium P. Ramlee di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Projek ePerolehan, Dato' Mohamedsha Mislam, Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak, Encik Kamarulzamana Mohd Isa, Naib Presiden commercedotcom, Encik Reza Ali serta kira-kira 300 pembekal dari sekitar Kuching.

Menurut beliau, bergantung kepada pihah pembekal sendiri sama ada mereka mahu mendaftar menerusi ePerolehan atau tidak kerana ia sebenarnya satu peluang kepada mereka.Bagaimanapun, menurut beliau, para pembekal dinasihatkan supaya cepat mendaftar dengan sistem berkenaan khususnya mereka yang sebelum ini pernah membekalkan barang dan perkhidmatan kepada kerajaan.

"Setakat ini, perkhidmatan yang dilancarkan menerusi ePerolehan bagi agensi-agensi persekutuan di negeri ini adalah pendaftaran bagi pembekal diikuti perolehan melalui Kontrak Pusat dan Pembelian Terus."Sistem ePerolehan ini sama sahaja dengan sistem manual cuma caranya sahaja yang berbeza. Jika dahulu, kita menggunakan manual tetapi sekarang lebih mudah kerana menggunakan elektronik. Namun dari segi sistem sehingga polisi dan dasar, ia tidak berubah sama sekali," tegasnya.

Beliau turut memberitahu, penerangan mengenai ePerolehan akan dijalankan di tempat-tempat lain di negeri ini supaya para pembekal di tempat berkenaan juga tidak ketinggalan serta mendapat maklumat yang sama.Katanya, kerajaan mempunyai polisi yang jelas iaitu dalam melaksanakan sesuatu sistem, semua pihak akan diberi peluang supaya mereka juga tidak ketinggalan dan bergerak serentak.

"Kita tidak mahu terdapat pihak yang ketinggalan dalam kita menjalankan ePerolehan ini. Jika ada yang ketinggalan pun mungkin ia disebabkan sikap mereka sendiri yang tidak mengendahkan peluang-peluang baru yang wujud di sekeliling mereka."Tapi jika mereka berminat, mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang ini dan jika mereka tidak mahu ketinggalan dalam ePerolehan ini, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenainya sama ada menerusi laman web mahupun telefon," ujarnya sambil menambah sebagai ahli peniagaan mereka mesti aktif dan berupaya merebut segala peluang yang ada.

Tambahnya, sistem ePerolehan yang menggantikan Sistem Pendaftaran Kementerian Kewangan (SPPK) 200 dilaksanakan bertujuan untuk memudah dan mempercepatkan lagi proses pendaftaran pembekal.Malah katanya, sistem ini mampu membuka peluang dan pasaran yang lebih luas kepada pembekal untuk menjalankan transaksi perolehan dengan kerajaan secara lebih telus, cepat dan efektif berbanding sistem manual.