Jumaat, 16 Jun 2006 | ||||||||
|
|
|||||||
|
Kenyataan Akhbar dan Artikel
Nilai transaksi CDC diramal RM2 bilion tahun ini
Berita Harian, Ekonomi - 3 Januari 2006 COMMERCE Dot Com Sdn Bhd (CDC) yang membangun dan mengendalikan gerbang ePerolehan, menjangka nilai transaksi degangan menerusi gerbang pembayaran elektroniknya meningkat sekali ganda kepada RM2 bilion tahun ini. Unjuran kenaikan 100 peratus itu selepas selesai kerja menaik taraf sistem berkenaan kepada berasaskan penyumberan terbuka yang lebih efisien bulan lalu. Pengarah Eksekutifnya, Datuk Azizan Ayob, berkata selain menampung peningkatan pengguna dan menjamin kestabilan sistem ePerolehan, sistem baru menggunakan aplikasi JBOSS itu menjanjikan tahap kelancaran transaksi tinggi berbanding sistem sebelum ini. "Kaedah sistem penyumberan terbuka membolehkan akses dipertingkatkan kepada 1,000 pada satu-satu masa berbanding 200 sebelum ini. "Kerja menaik taraf yang bermula Ogos lalu sudah selesai sepenuhnya dan ia akan digunapakai sepenuhnya bulan ini," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sebelum itu, beliau mewakili CDC pada majlis memeterai perjanjian pembekalan antara syarikat itu dengan IRIS Corporation Bhd (Iris). Menerusi perjanjian itu, Iris akan menjadi pembekal kad MyeP (dulunya dikenali sebagai kad ePerolehan) kepada CDC. Sebagai permulaan, Iris akan membekalkan 20,000 kad MyeP kepada CDC untuk dua tahun. Iris diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohammad Supardi Md Noor. Azizan berkata, selain memuatkan modul sedia ada seperti pendaftaran pembekal, pembelian terus dan pembelian kontrak pusat, modul tambahan seperti sebut harga, tender dan sistem pengurusan katalog (CMS) turut dimuatkan ke dalam sistem ePerolehan baru itu. "Meningkatkan keupayaan sistem ePerolehan menggunakan produk sumber terbuka selaras hasrat kerajaan agar penyumberan luar diterap secepat mungkin dalam pembangunan sistem, " katanya. Beliau berkata, keberkesanan sistem berasaskan penyumberan luar dimanifestasikan dalam data dikumpul syarikat. Pada tahun ini jumlah transaksi secara dalam talian (PO) meningkat 220 peratus kepada 104,783 bernilai RM1 bilion berbanding 44,306 PO bernilai RM312 juta tahun sebelumnya. Dalam perkembangan lain, Azizan berkata, mulai Januari, program ePembelajaran akan diperkenalkan bagi memudahkan pembekal menjalani latihan secara sendiri menerusi internet pada kadar lebih murah. ePerolehan adalah salah satu projek perintis Koridor Raya Multimedia (MSC) dilaksanakan CDC. Syarikat itu diberi konsesi membina, mengendali dan memindahkan (BOT) projek ePerolehan oleh Kerajaan. |
|
© 2000-2005 Commerce Dot Com Sdn Bhd.
Semua hakcipta terpelihara. Syarat-syarat Perkhidmatan
|